Jom Sesame bace..hahaha!!
"Apa
nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil
sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”,
marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah
besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik
buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu.. Kenapa kau
susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.
Suaranya
kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada
sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu
pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula
menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu.
“Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua
tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia
tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia
juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin
bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka
sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along
berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.
“Sakit
bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul
bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi.
“Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali
ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu.
“Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”,
rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si
ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap
mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan
tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak
jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula
berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis
kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak
mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan
ibunya menangis lagi kerananya.
Malam
itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat
dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah
yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak.
Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan
pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan
kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di
sebelah.
Namun,
dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di
dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah
sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata
yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai
minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek
rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa
pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along
merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap.
Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu
sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM,
kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah
tua itu.
Apa yang
dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati
ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak
pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu
menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along
ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia
tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya
pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along
terlelap juga.
Seminggu
selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika
ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari
sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau
orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang
terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan
yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali
ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur,
adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu.
Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan
mereka.
“
Ibu...ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih
kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis
seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur
hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik
pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa
ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu... Ibu tau Atih lapar, tapi
tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik
atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik
nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik
rupanya…’ bisik hati kecil Along.
“Kak Ngah
dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur.
Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan.
“Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa
bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan
Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari
balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun
sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni
dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan.
Along
mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak
mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat
disayanginya. “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah
dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu
kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak
senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang
derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah
didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan
itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas
ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil
jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba
berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu
yang di lengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa
ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang
dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera
menoleh.
Rupa-rupanya
itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin
tahu sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau
pulak buat apa kat sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak
tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur.
“waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?”
Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu.. “Betul ke ni Riz? Nanti
marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku
mesti bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan
la.. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan.
Fariz
hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar
sikit-sikit.” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju.
Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi
silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”, soal
Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku
seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak
sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau
jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya
mengangguk senyum.
Hari
semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba,
kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak
berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian
menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah
petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa
lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa
berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah
ayahnya.
“Baru nak
balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir
itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam
pinggan. “Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik
rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam.. Dia terus berusaha mengukir senyum
dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba
Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang
masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along ni teruk tau.
Suka buat ibu susah hati.
Kerana
Along, ibu kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang
sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia
menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ,
dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka belajar,
berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit
ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama
penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat
sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat
mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan
lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.
Perasaannya
jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan
kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin
membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan
mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok.
Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap
dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa
ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia
mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu.
Niatnya
sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa
berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang
motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib
menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai
pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari,
dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat
membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si
ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga
berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh
setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat
apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.
Seperti
selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe
yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang
Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya
dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!”, soal Abang Joe
tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. “Macam serius
jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari dari rumah kan
?”
Along
tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur
keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along
itu, Abang Joe segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah? Bergaduh
dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu
benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus
menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan
mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak…ataupun
impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang
selesa dengan soalannya tadi. “ Ada ” jawab Along pendek.
“Kau nak
jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam
aku…atau….” Along menggeleng-gelengka n kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya
nak mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe
melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu.
“ Ala , gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah
dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan sahaja suaranya namun masih
jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya.
Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia
sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada
cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah..
Setelah
tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu,
petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan
Abang Joe sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah
...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu
selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya
mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke
pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu.
Ini menyebabkan
Abang Joe terasa agak sebak. “Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang
yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata
Along lagi. “Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah
aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang
soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang
Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik
abang.. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.” Balasnya dengan
tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya
yang akan pergi jauh.
Berbekalkan
upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang
diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di
mana baju itu disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya
aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz setelah menyedari
kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh menampakkan giginya. “Zam, mak
kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk
si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku
terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang.
“Kau jadi
mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata
Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak
kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak
dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along memotong kata-kata si sahabat
yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong
balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”, pinta Along sambil
menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat
duit? Kau kerja ke?” , soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe.
Jadi pembantu dia", terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel
motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas
Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni
kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni
ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?”,
soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah
ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil
mengukir senyum.
Along
keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar
menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang,
Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu.
Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong
masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar
seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak
sempat mengelak.
Akibat
perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami
hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai
mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya
perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat
yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia
menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah
semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat,
pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam
keparahan itu, Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang
berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia
tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup
saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar
suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang
keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan
semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu.
“Ha..hadiah….untuk….ibu………”
ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang
sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil
dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan
lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada
air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan
ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.
Selesai
upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah,
Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir
relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah
yang kering dibukanya lalu dibaca.
Buat ibu
yang sangat dikasihi,
Ampunkanlah
salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta
sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu.. Along janji tak kan membuatkan ibu
marah lagi.
Ibu,
Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah
ini…
UNTUKMU
IBU!
Kad itu
dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu
juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan
sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani
perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua
itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.
“Makcik,
ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan
tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik
datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna
air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak
pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang
perempuan gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya.
Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan
menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya
dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali
peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak
mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan,
dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit
jiwa semula....” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan
kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.
Si ibu
terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi
Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu
dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.
Sedihh!!
sedihnyer cite at ats nieyh
ReplyDeletehaaaa..tau xper,huhuhu..
ReplyDelete